Contoh Surat Rasmi

Ramai orang mencari surat rasmi. Mereka tidak tahu formatnya, jadi kami mempunyai contoh dan contoh surat rasmi di sini dan mempunyai lebih banyak masa depan.

Semak di bawah :-

Roziah binte Abdul Jamal
Blk 234 East Coast Road
#10-789
Singapura 4000234

31 Julai 2008

Tuan Pengurus
Butik Anak Emas
#02-04 Suncity Plaza
1 Jalan Pelangi Merah
Singapura 800234

Tuan

Penghargaan Kepada Jurujual

Merujuk perkara di atas, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kejukuran jurujual tuan yang bernama Sofia binti Ahmad.

Pada 8hb. Julai 2008, saya berkunjung ke Butik Anak Emas kerana saya amat tertarik dengan hiasan butik tuan yang unik. Semasa berada di butik tuan, saya telah tertinggal dompet di kaunter butik semasa membuat pembayaran. Saya tidak sedar akan kehilangan dompet itu sehingga jurujual tuan dating ke rumah saya untuk memulangkannya selepas masa kerjanya. Saya sangat menghargai keikhlasan dan kejujuran jurujual itu. Pada pendapat saya, tindakan Sofia menunjukkan bahawa dia orang yang amanah.

Di samping itu, Sofia juga memiliki peribadi yang ramah. Ketika di butik tuan, saya telah disambut oleh Sofia dengan baik. Senyuman dan layanannya membuat saya selesa, seakan-akan kami telah lama berkenalan. Sofia menggalakkan saya melihat-lihat produk yang dijual dan sedia memberikan bantuan apabila diperlukan. Sofia juga berpengetahuan dan sedia memberikan maklumat tambahan tentang produk di butik tuan. Saya amat berpuas hati dengan layanan yang saya terima.

Saya mengucapkan tahniah atas keprihatinan tuan memilih kakitangan yang jujur, amanah, berbudi bahasa, cekap, berpengetahuan dan memiliki daya inisiatif dalam menjalankan tugas. Saya harap perkhidmatan yang baik seperti ini dapat dikekalkan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar
Roziah A Jamal
Roziah binte Abdul Jamal


Contoh Surat Tidak Rasmi

Roziah binte Abdul Jamal
Blk 234 East Coast Road
#10-789
Singapura 4000234

31 Julai 2008

Menemui Farah binte Hairi
Dengan selamatnya

Saudari,

Semoga saudari berada dalam keadaan sihat dan sejahtera semasa membaca warkah ini. Saya di sini sihat-sihat sahaja, Alhamdulillah.

Tujuan saya menulis warkah ini ialah untuk menceritakan kepada saudari tentang pengalaman saya membuat kerja kebajikan tempoh hari di rumah anak yatim Darul Ihsan. Kami sekelas telah bersepakat untuk menjadi sukarelawan di rumah anak yatim itu setelah membaca tentang kisah mereka di akhbar minggu lalu.

Sebelum ke sana, kami telah memungut derma daripada ahli keluarga dan teman-teman yang lain. Sumbangan yang dapat kami kumpulkan amat memberangsangkan, iaitu sebanyak $400. Kami juga telah membelikan beberapa barangan asas seperti biskut, minuman dan sebagainya sebagai hadiah kepada anak-anak yatim itu. Selain itu, kami telah diminta untuk mempersembahkan sebuah tarian untuk menghiburkan kanak-kanak di sana.

Pada hari yang ditetapkan, kami sampai di rumah tumpangan itu seawal pukul 9 pagi. Pertama sekali, kami telah memperkenalkan diri masing-masing kepada kanak-kanak itu. Kami juga telah menjalankan beberapa permainan untuk menghiburkan mereka. Beberapa hadiah diberikan dan kanak-kanak di sana sangat terhibur dengan kegiatan-kegiatan yang kami anjurkan.

Kami juga telah meluangkan masa untuk membacakan buku cerita kepada kanak-kanak itu. Setelah sesi membaca buku, kami mempersembahkan tarian kami. Mereka juga telah melakonkan sebuah sketsa untuk kami semua.

Di penghujung lawatan kami, saya dan teman-teman lain telah memberikan wang derma yang dikumpulkan kepada penyelia rumah kebajikan itu. Mereka sangat terharu dan berterima kasih di atas bantuan kami. Mereka juga menyeru agar kami dapat kerap melawati rumah tumpangan itu dan membimbing kanak-kanak yang menetap di situ.

Demikianlah pengalaman saya di rumah anak yatim Darul Ihsan. Saya berharap saudari juga berminat untuk berganding bahu dengan saya dan teman-teman yang lain untuk membantu dan membuat amal kebajikan seperti ini.

Setakat di sini warkah saya kali ini. Sehingga kita bertemu lagi di lain kesempatan, saya ucapkan selamat maju jaya untuk peperiksaan saudari yang bakal menjelang.

Sekian, terima kasih.

Yang benar
Roziah A Jamal